**TADABBUR WAHYU SIRI 718**

**4.66.1 Tadabbur Surah An-Nisa 72-73**

وَإِنَّ مِنْكُمْ لَمَنْ لَيُبَطِّئَنَّ فَإِنْ أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَالَ قَدْ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيَّ إِذْ لَمْ أَكُنْ مَعَهُمْ شَهِيدًا.

Dan sesungguhnya ada di antara kamu: orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya (juga orang lain, daripada turut mara ke medan perang). Kemudian kalau kamu ditimpa kemalangan (tercedera atau terbunuh) dia berkata: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat kepadaku, kerana aku tidak turut berperang bersama-sama mereka”.

Ayat sebelum ini telah menerangkan tujuan berperang dalam Islam, iaitu menjaga keamanan.

Dalam ayat ini pula al-Quran menjelaskan ada orang yang tidak mahu menyertai peperangan itu.

Dia juga berusaha agar orang lain melakukan perkara yang sama.

Melalui dialog yang disorotkan disini dapat difahami mengapa orang itu enggan menyertai peperangan.

Tidak lain dan tidak bukan kerana mereka merasakan kesusahan yang mereka hadapi pada jalan Allah sebagai sia-sia.

Mereka berasa beruntung apabila terlepas dari mengalami kesusahan pada jalan Allah.

Jelas sekali penilaian orang itu ialah penilaian kebendaan dan keduniaan semata-mata.

Seorang yang culas dari melakukan tanggungjawab dan lari dari kewajipan sebenarnya berada dalam kerugian kerana mereka terlepas dari mendapat keredhaan Allah.

Merekalah orang-orang yang celaka kerana berada dalam kemurkaan Allah.

Sifat mereka itu dijelaskan lagi melalui ayat berikut:

وَلَئِنْ أَصَابَكُمْ فَضْلٌ مِنَ اللَّهِ لَيَقُولَنَّ كَأَنْ لَمْ تَكُنْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُ مَوَدَّةٌ يَالَيْتَنِي كُنتُ مَعَهُمْ فَأَفُوزَ فَوْزًا عَظِيمًا

73-Dan demi sesungguhnya kalau kamu beroleh limpah kurnia (kemenangan) dari Allah, sudah tentu ia mengatakan (dengan sesalnya), seolah-olah tidak ada hubungan kasih mesra antara kamu dengannya: “Alangkah baiknya kalau aku turut serta bersama-sama mereka, supaya aku juga beroleh kemenangan yang amat besar”.

Sifat begini sering berlaku pada manusia walaupun bukan dalam hal peperangan.

Seringkali orang yang melakukan keburukan atau meninggalkan kewajipan tetap berasa beruntung walaupun mereka sebenarnya rugi disisi Allah.

Oleh itu ayat ini mengajak umat Islam kearah memberi sumbangan dan berkhidmat kepada agama itulah yang sangat menguntungkan.

Selain dari itu, perlu diingatkan juga ayat ini perlu difahami dalam konteks yang betul.

Orang yang memahami ayat ini secara literal mungkin menyangka bahawa Al-Quran menyuruh semua orang Islam menyertai peperangan.

Kefahan ini kurang tepat, sebaliknya para ulama telah membahagikan keterlibatan dalam peperangan mungkin membawa hukum fardu Ain dan mungkin juga fardu kifayah berdasarkan kepada keperluan.

Ayat ini tidak menunjukkan bahawa setiap orang dari kalangan rakyat mesti menyertai peperangan dimedan perang.

Ini kerana tidak ada gunanya untuk  setiap orang menyertai peperangan di medan perang.

Hukum fardu ain terkena kepada seluruh orang beriman jika keadaan memerlukan mereka berbuat demikian.

Dan hukum fardu kifayah pula berlaku ketika kedudukan tentera telah mencukupi dan penyertaan mereka telah memadai untuk menentang musuh.

Kupasan dengan cara itu walaubagaimanapun boleh dipersoalkan.

Ini kerana dalam setiap masa bukan menyertai peperangan di medan perang sahaja yang menentukan kemenangan sesuatu pihak.

Bahkan sektor ekonomi perlu bergerak untuk memastikan kemenangan tentera dimedan perang kerana peperangan memerlukan perbelanjaan kewangan yang tinggi.

Begitu juga kehidupan rakyat biasa perlu juga diteruskan walaupun negara berada dalam situasi perang dengan sekolah, kilang dan sektor-sektor lain perlu beroperasi.

Oleh itu boleh difahami bahawa bukan semua rakyat dalam sesuatu negara mesti terlibat dengan peperangan ketika negara dalam keadaan perang.

Mereka yang bertanggungjawab dalam bidang itu sahaja yang wajib untuk menyertai peperangan secara langsung sementara wanrganegara yang lain mestilah memberikan sokongan dalam segala sudut samada sokongan kewangan atau sokongan moral.

Dalam ayat diatas al-Quran menjelaskan segolongan manusia yang enggan berkorban pada jalan Allah lalu mereka berasa beruntung apabila mereka tidak menyertai perjuangan yang dilalui oleh nabi saw.

Dengan itu, ayat ini mengajak kepada kehidupan yang bermatlamat dan pengorbanan yang berterusan pada jalan Allah.
Wallahuaalam.

Isnin
1 Syaaban 1442
15 Mac 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *