**TADABBUR WAHYU SIRI 726**

**4.73.1 Tadabbur Surah An-Nisa 82**

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا.

82-Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu mentadabbur Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

Setelah al-Quran menceritakan gelagat orang munafik yang enggan beriman dengan dakwah nabi saw, disebutkan pula disini satu persoalan.

Apakah mereka tidak mentadabbur al-Quran. Perkataan  tadabbur berasal dari perkataan dubur yang bermaksud pengakhiran sesuatu perkara.

Pengakhiran al-Quran bermaksud melihat kepada maksud dan pengajaran al-Quran selapas membacanya.

Sifat tidak mentadabbur al-Quran ini telah dinisbahkan kepada orang munafik dengan mengisyaratkan bahawa sebab mereka menolak iman dan kebenaran ialah kerana mereka tidak menemuinya. Hal ini adalah berpunca dari sifat mereka yang tidak mentadabbur al-Quran.

Apa yang dapat difahami daripada ayat ini ialah mentadabbur al-Quran merupakah satu kewajipan bagi seorang yang mahu mendapat petunjuk dan jalan kebenaran.

Hal ini sekaligus memberi isyarat bahawa al-Quran bukan sahaja kitab yang dituntut untuk dibaca tetapi juga difahami makna dan pengajarannya.

Tuntutan ini sudah tentu bukan sahaja ditujukan kepada orang munafik sebaliknya ia menjadi tuntutan kepada orang beriman kerana mereka juga perlukan hidayah Allah berterusan.

Dengan gesaan ini umat Islam perlu sekali meningkatkan kualiti bacaan al-Quran daripada sekadar membetulkan tajwid kepada memahami makna dan pengajarannya sekali.

Rangkap kedua ayat diatas ialah firman Allah yang bermaksud:

Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

Ayat ini bukan bermaksud didalam al-Quran tidak ada maksud yang diperselisihkan oleh para ulama. Bahkan dari awal lagi kita mendapati terdapat banyak tafsir tentang makna “Alif lam min”.

Yang dimaksudkan dengan tidak ada perselisihan dalam al-Quran ialah ayat-ayat al-Quran tidak bertentangan faktanya antara satu sama lain. Ia juga bermaksud tidak ada didalamnya kesalahan bahasa maklumat.

Para ulama memahami ayat ini dengan lebih jauh lagi. Apabila al-Quran menyatakan didalamnya tidak ada perselisihan maka mereka memahami bahawa salah satu metod dalam mentafsir al-Quran ialah ia mesti dijalinkan sehingga maknanya tidak bertentangan.

Oleh itu tindakan sebahagian orang yang mentafsirkan al-Quran tanpa membuat kajian menyeluruh terhadap ayat-ayatnya adalah metode yang salah. Ini kerana didalam al-Quran terdapat maklumat yang seolah-olah bertentangan antara satu sama lain.

Contohnya ialah ayat 56:Surah al-Qasas bermaksud:

Sesungguhnya engkau tidak boleh memberi hidayah kepada orang yang engkau cintai, tetapi Allahlah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki.

Dalam ayat 52 Surah al-Syura pula Tuhan berfirman dengan maksud:

Sesungguhnya engkau membawa hidayah kearah jalan yang lurus.

Kedua-dua ayat kelihatan pada zahirnya bertentangan kerana satu ayat meletakkan hidayah hanya milik Allah dan ayat kedua mengatakan nabi saw membawa hidayah.

Atas kesedaran ayat Al-Quran tidak boleh bertentangan maka para ulama cuba mencari maksud sebenar bagi kedua-dua ayat dan ia perlu difahami dalam makna yang tidak bertentangan antara satu sama lain.

Hasilnya mereka memahami bahawa Allah sahaja yang berkuasa memberi hidayah kepada manusia sementara nabi saw hanya pembawa hidayah untuk dijelaskan kepada manusia. Baginda tidak memiliki kuasa sedikit pun untuk memberi hidayah kepada siapa yang baginda mahu.

Ahad
21 Syaaban 1442
4 April 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *