**TADABBUR WAHYU SIRI 733**

**4.80.1 Tadabbur Surah An-Nisa 89*
وَدُّوا لَوْ تَكْفُرُونَ كَمَا كَفَرُوا فَتَكُونُونَ سَوَاءً ۖ فَلَا تَتَّخِذُوا مِنْهُمْ أَوْلِيَاءَ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَخُذُوهُمْ وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ ۖ وَلَا تَتَّخِذُوا مِنْهُمْ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا.

89-Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong;

Ayat ini menerangkan tentang ancaman orang-orang munafik terhadap dakwah nabi saw dan ketenteraman negara.

Mereka cuba untuk membawa nabi dan kaum muslimin kepada kekufuran. Inilah usaha mereka sejak mula nabi saw bertapak di Madinah.

Dengan penentangan terhadap agama, kaum munafik juga mahu menjatuhkan kepimpinan nabi saw di Madinah. Tetapi mereka pada mulanya tidak menunjukkan penentangan itu terang-terangan.

Sebagai memberi panduan kepada umat Islam, tuhan melarang orang Islam dari menjadikan orang munafik sebagai wali. Perkataan wali mempunyai beberapa maksud.

Dalam terjemahan diatas ia disebut sebagai teman rapat. Yang dimaksudkan disini ialah umat Islam dilarang dari menjadikan orang munafik sebagai orang yang diberikan kepada mereka segala rahsia dan diminta nasihat dalam perkara yang melibatkan hal ehwal yang sensitif dan tidak sepatutnya diketahui umum. Pertahanan dan kekuatan negara, strategi perang dan maklumat yang dianggap sensitif dan perlukan kerahsiaan sudah pasti tidak boleh didedahkan kepada pihak musuh.

Arahan kedua dalam ayat ini ialah agar menangkap dan membunuh mereka sekiranya mereka berpaling.

Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang menunjukkan bahawa nabi saw enggan membunuh orang munafik walaupun mereka melakukan berbagai karenah dalam pentadbiran nabi saw.

Selain itu hadis-hadis yang menunjukkan nabi saw membunuh kaum munafik pula adalah hadis lemah dan hadis rekaan.

Jika digabungkan suruhan membunuh orang munafik dalam ayat ini dan ayat 61 surah al-Ahzab dapat disimpulkan bahawa suruhan membunuh orang munafik ialah ketika mereka terlibat dalam peperangan dan bukannya dalam keadaan biasa.

Terdapat juga  pentafsir yang mengatakan bahawa ini adalah contoh dimana ada suruhan al-Quran yang tidak dibuat oleh nabi saw.

Namun demikian takwilan sedemikian kelihatan tidak bersesuaian dengan sifat nabi yang sangat sensitif dengan arahan dan larangan Allah. Masakan Baginda tidak mengamalkan suruhan tuhan sedangkan Baginda adalah contoh tauladan bagi setiap manusia diatas muka bumi ini.

Ahad
13 Ramadhan 1442
25 April 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *