**TADABBUR WAHYU SIRI 737**

**4.84.1 Tadabbur Surah An-Nisa 93*

وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ 
جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ 
وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا.

93. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya, dan Allah murka dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa membunuh adalah suatu jenayah yang sangat dimurkai oleh Allah.

Ini kerana Allah menjadikan nyawa manusia sebagai suatu yang sangat diberikan kehormatan.

Tidak ada siapa pun yang boleh membunuh atau menceroboh nyawa orang lain samada dengan sengaja atau tidak sengaja.

Larangan membunuh orang beriman secara sengaja dalam ayat ini bukan bermakna orang Islam boleh membunuh orang bukan Islam sesuka hati.

Tidak demikian, orang bukan Islam juga tidak boleh dicerobohi  keselamatan dan nyawa mereka.

Namun demikian pada zaman nabi saw ada peperangan dengan orang bukan Islam yang menceroboh dan mahu memusnahkan negara Madinah.

Membunuh musuh yang mahu menghancurkan negara dan menjajah adalah dibenarkan dalam Islam.

Rangkap kedua ayat ini menerangkan balasan orang yang membunuh secara sengaja. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal didalamnya.

Ayat ini sebenarnya ditafsirkan oleh ulama dengan beberapa tafsiran. Ini kerana apa yang diketahui ialah orang beriman tidak akan menjadi kafir dengan melakukan maksiat.

Perbuatan membunuh adalah perbuatan maksiat. Jika ia adalah maksiat dan pelakunya tidak kufur maka mengapa pula mereka disifatkan akan kekal dalam neraka.

Sedangkan disana adanya nas-nas yang menunjukkan bahawa orang Islam yang berdosa tidak akan kekal didalam neraka.

Dalam erti kata lain hanya orang yang kufur sahaja yang akan kekal di dalam neraka.

Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa ada sebahagian yang mengatakan bahawa perbuatan maksiat tidak membuatkan orang beriman kekal di dalam neraka kecuali perbuatan membunuh. Mereka berpendirian demikian kerana mentafsirkan ayat diatas secara literal.

Sebahagian ulama pula memahami bahawa orang beriman tidak akan kekal di dalam neraka walaupun mereka melakukan jenayah membunuh. Ini kerana maksud kekal dalam ayat ini bukannya kekal selama-lamanya tetapi bermaksud lama.

Kumpulan ini cuba mengharmonikan antara dua Nas, iaitu yang mengatakan orang beriman tidak akan kekal di dalam neraka dan Nas yang mengatakan orang yang membunuh orang beriman kekal di dalam neraka.

Bagi mereka maksud kekal ialah lama dan maksud ini diambil daripada penggunaan orang arab terhadap perkataan “kekal”.

Tafsiran kedua kelihatan lebih tepat kerana berjaya mengharmonikan antara dua nas dan tidak menjadikannya bertentangan.

Walau apapun tafsirannya, pembaca tetap dapat memahami bahawa membunuh adalah satu kesalah besar disisi Allah dan setiap orang beriman dituntut untuk menjauhi jenayah ini.

Semoga Allah menyelamatkan kita dari melakukan dosa besar ini. Amin.

Jumaat
25 Ramadhan 1442
7 Mei 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *