**TADABBUR WAHYU SIRI 738**

**4.85.1 Tadabbur Surah An-Nisa 94*

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا ضَرَبْتُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَبَيَّنُوا وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَى إِلَيْكُمُ السَّلَامَ لَسْتَ مُؤْمِنًا تَبْتَغُونَ عَرَضَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فَعِنْدَ اللَّهِ مَغَانِمُ كَثِيرَةٌ كَذَلِكَ كُنْتُمْ مِنْ قَبْلُ فَمَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ فَتَبَيَّنُوا إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا.

94. Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). Kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.

Ayat ini mengarahkan agar umat Islam tidak membuat reaksi terhadap sebarang berita kecuali apabila memastikan kebenarannya terlebih dahulu.

Salah satu contoh yang diberikan ialah keadaan dimana musuh mengaku mahukan perdamaian dan aman. Atau pada ketika dahulu musuh yang sebelum ini memerangi atas dasar kekufuran telah mengaku memeluk Islam. Dalam erti kata lain mereka telah tidak berada pada pihak musuh.

Dakwaan seperti ini sememangnya mengelirukan kerana ia berkemungkinan hanya satu muslihat.

Namun demikian Allah menuntut agar orang beriman memastikan kebenaran dakwaan mereka agar tidak melakukan kezaliman terhadap orang lain.

Peristiwa seperti ini telah berlaku di zaman nabi saw. Terdapat sekurang-kurangnya 3 peristiwa yang dikaitkan dengan keadaan diatas.

Salah satunya dikaitkan dengan Qatadah. Ada pula riwayat yang mengaitkannya dengan Usamah dan  ada pula riwayat yang mengaitkan dengan seorang sahabat bernama Mahlam bin Jasamah.

Kelihatannya ketiga-tiga peristiwa ini berlaku secara berasingan. Dan tidak dapat dipastikan apakah penurunan ayat ini berlaku dalam setiap peristiwa atau berlaku dalam salah satu peristiwa sahaja.

Walaupun sebab penurunan ayat ini agak kabur, tetapi pengajaran ayat sangat jelas dimana tuhan melarang orang beriman bertindak terburu-buru.

Sebaliknya sifat seorang muslim yang baik ialah bertindak berdasarkan kepada fakta yang tepat.

Dalam salah satu riwayat menyatakan Usamah telah berperang dengan seorang musuh tetapi apabila beliau merasakan akan kalah ditangan Usamah musuh itu pun mengucap dua kalimah syahadah.

Usamah tidak menghiraukan pengakuan itu sebaliknya terus membunuhnya.

Hal ini telah sampai kepada pengetahuan nabi saw dan Baginda memanggil Usamah.

Setelah ditanya oleh nabi saw, Usamah memberi alasan lelaki itu mengucap syahadah hanya untuk mengelakkan dia dibunuh.

Rasulullah saw tidak setuju dengan alasan itu lalu bersabda: Apakah kamu telah membelah dadanya?

Baginda bermaksud Usamah tidak dapat mengetahui keikhlasan yang ada di dalam hati orang tersebut.

Bertindak berdasarkan maklumat yang pasti bukan diperlukan dalam peperangan sahaja, bahkan ia perlu menjadi amalan seharian seorang muslim.

Penghayatan terhadap prinsip penting ini dapat menyelamatkan kita dari melakukan kesalahan dalam bertindak.

Sememangnya tindakan yang melulu sering membawa penyesalan kepada diri seorang insan. Semoga Allah memelihara kita dari sifat negatif ini. Amin

Ahad
27 Ramadhan 1442
9 Mei 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *