**TADABBUR WAHYU SIRI 741**

**4.88.1 Tadabbur Surah An-Nisa 97*

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمْ الْمَلاَئِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُوْلَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا.

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Perbincangan sebelum ini telah menyentuh persoalan orang yang berjuang pada jalan Allah serta balasan yang mereka dapati.

Selain itu dijelaskan juga berkenaan orang-orang yang enggan untuk berjuang dan mereka itu terdiri daripada dua golongan.

1- orang yang lemah dan tidak berkemampuan untuk bermusafir dalam jarak yang jauh.

2- orang- orang yang mampu tetapi tidak sanggup menanggung risiko kehilangan harta dan keselamatan nyawa.

Setelah penerangan itu diberikan, ayat ini menjelaskan pula berkaitan nasib orang yang meninggalkan perjuangan sedangkan mereka berkemampuan.

Imam al-Qurtubi menghubungkan kisah ini dengan apa yang berlaku pada zaman nabi saw.

Ada segelintir orang Mekah yang telah memeluk Islam tetapi tidak berhijrah bersama nabi saw.

Sebahagian mereka tidak berbuat demikian kerana ada keuzuran seperti hamba abdi yang terikat dengan tuan mereka, orang sakit, kanak-kanak dan ada pula wanita yang tidak dapat mengurus diri mereka dalam perjalanan yang jauh.

Sebahagian mereka yang tidak berhijrah pula adalah orang-orang yang enggan menanggung risiko kerugian harta.

Ini kerana bila mereka berhijrah, mereka terpaksa meninggalkan harta tanpa mengetahui bila lagi boleh kembali ke Mekah semula.

Akibat berada dibawah tekanan kaum mushrikin Mekah sebahagian mereka telah murtad dan ada pula yang menyertai peperangan Badar meyebelahi pihak Mekah.

Sebahagian ulama berpandangan ayat ini ditujukan kepada orang yang masih Islam dikalangan mereka.

Mereka juga akan diazab oleh Allah kerana keengganan mereka untuk berhijrah dan sanggup berada dipihak yang menentang nabi saw.

Sebahagian ahlli tafsir pula berpandangan mereka yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah orang yang telah murtad dan tidak lagi berpegang dengan ajaran Allah.

Syeikh Ibnul Asyur memilih pandangan ini yang diambil daripada Ibnu Abas.

Allah menamakan orang yang tidak mengikut nabi dan sayang kepada harta serta keselamatan diri sebagai orang yang telah menzalimi diri sendiri.

Hal ini dapat difahami apabila melihat kepentingan dunia itu sedikit, sedangkan mereka terlepas daripada mendapat kenikmatan akhirat.

Dengan itu penggunaan istilah menzalimi diri sendiri telah memberi isyarat bahawa orang itu telah membuat pilihan yang salah dan perkara itu tidak membawa kemaslahatan sebenar kepada mereka.

Begitulah keadaan hidup di dunia ini, manusia diuji dengan kecintaan kepada kerehatan dan kenikmatan yang sedikit.

Seringkali manusia melebihkan kehidupan dunia lalu meninggalkan tuntutan agama demi mendapat habuan dunia yang sementara itu.

Semoga kita diberikan kekuatan untuk mecari keredaan Allah dan kemenangan di hari akhirat. Amin

Rabu
7 Shawal 1442
19 Mei 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *