**TADABBUR WAHYU SIRI 743**

**4.90.1 Tadabbur Surah An-Nisa 100*

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا.

100. Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat ini menerangkan bahawa siapa yang meninggalkan kepentingan keduniaan kerana tuntutan menegakkan agama Allah maka rezeki Allah itu luas.

Antara halangan manusia untuk melakukan kebaikan ialah kerana takutkan kehilangan nikmat dunia yang dimilikinya.

Nikmat berada tempat sendiri, nikmat memiliki harta dan keselesaan sering menjadi penghalang buat manusia untuk melakukan sesuatu kebaikan.

Dengan itu Allah menjelaskan bahawa rezekiNya adalah luas.

Kenikmatan yang dimiliki oleh seseorang itu bukan diberikan oleh orang sekelilingnya, tetapi Allahlah yang memberikan kenikmatan itu kepadanya.

Dengan itu, jika keadaan menuntut seseorang untuk meninggalkan kediaman dan hartanya maka dia tidak perlu takut untuk berbuat demikian.

Tuhan yang memberikan rezeki kepadanya sebelum ini boleh saja memberikan. rezeki kepadanya selepas ini. Semuanya berada dibawah kekuasaan Allah semata-mata.

Dalam ayat ini, Allah juga berjanji bahawa orang yang telah bertindak melakukan kebaikan  akan diberikan ganjaran walaupun dia tidak sempat menyempurnakan kebaikan itu dengan sempurna.

Seperti seorang yang mati dalam perjalanan menuju hijrah yang diwajibkan oleh Allah kepadanya.

Sungguhpun hijrah itu belum lagi sempurna tetapi Allah membalas kepada hambanya berdasarkan niat dan kesungguhan yang telah dibuktikan.

Kesemua itu adalah kerana Allah tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih terhadap hambaNya.

Antara salah faham yang sering berlaku dalam memahami ayat ini ialah apabila ada segelintir umat Islam bertindak meninggalkan anak dan isteri mereka atas dakwaan untuk mengerjakan tugas dakwah.

Mereka berhujah dengan ayat ini yang mengajak seseorang meninggalkan kampung halam dslam mengerjakan dakwah.

Akibat salah faham ini, mereka pergi melakukan kerja-kerja yang dianggap dakwah tanpa meninggalkan kepada tanggungan mereka nafkah yang secukupnya.

Hal ini telah menimbukan masalah dari sudut ketenteraman rumah tangga, hak isteri dan pendidikan anak-anak.

Salah faham terhadap ayat diatas menjadikan mereka merasakan kampung halaman dan keluarga mesti ditinggalkan demi menegakkan Islam dan demi perjuangan.

Kefahaman sebegini adalah kurang tepat. Ini kerana ayat diatas memberi fokus kepada situasi dimana hijrah telah menjadi fardu ain.

Ia berlaku seperti hijrah yang diwajibkan oleh Allah kepada nabi saw dan para sahabat, iaitu ketika mereka berada di Mekah.

Hijrah sebegini berlaku juga selepas zaman Baginda saw dalam bentuk seorang yang mahu menyelamatkan akidah dan imannya serta keluarganya daripada dipesongkan oleh masyarakat dan persekitaran yang salah.

Jika dia kekal dalam masyarakat itu, agamanya serta keluarganya akan terancam.

Pada ketika itu, mencari kehidupan baharu dengan meninggalkan tempat kediaman adalah diwajibkan.

Adapun atas alasan dakwah semata-mata, sedangkan tidak ada ancaman pada akidah dan akhlak mereka maka hijrah tidak diwajibkan.

Bahkan tindakan mengabaikan nafkah terhadap isteri dan anak-anak adalah bertentangan dengan tuntutan agama.

Masakan tidak, sedangkan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan tanpa nafkah itu sendiri akan menjadi orang yang terancam dan mudah terjebak dalam perkara yang melanggar tuntutan agama.

Allah telah menasihati agar seorang yang beriman menyelamatkan dirinya serta orang yang berada dibawah tanggunggannya daripada api nereaka.

Menyelamatkan orang yang terdekat daripada melakukan perkara yang tidak baik adalah tuntutan yang lebih utama. Dan perlu didahulukan.

Dalam masa yang sama dakwah terhadap masyarakat perlu juga dilakukan dan berkemungkinan kerja-kerja dakwah tidak menuntut kita meninggalkan rumah dan kampung halaman yang kita diami.

Perlu juga diingatkan bahawa kerja-kerja dakwah dengan memberikan pengajaran dan nasihat kepada masyarakat perlu dilakukan oleh orang yang berilmu dan faham dengan selok belok ajaran Islam.

Adapun mereka yang tidak memiliki pengetahuan mendalam  dalam bidang agama maka sumbangan yang diberikan mestilah dalam bentuk lain berdasarkan kemampuan seperti sumbangan tenaga, harta benda dan sebagainya.

Ahad
11 Shawal 1442
23 Mei 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *