**TADABBUR WAHYU SIRI 746**

**4.93.1 Tadabbur Surah An-Nisa 103*

فَإِذَا قَضَيْتُمْ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ فَإِذَا اطْمَأْنَنتُمْ فَأَقِيمُوا الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا.

103. Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

Perbincangan dalam situasi perang masih berlarutan.

Dengan itu maksud yang paling jelas bagi ayat ini ialah “apabila kamu telah selesai dalam mengerjakan solat khauf maka hendaklah kamu menyebut nama Allah”.

al-Quran menggunakan perkataan “qada” bagi membawa maksud telah mengerjakan.

Ia mungkin membawa kekeliruan bagi orang yang tidak berhati-hati kerana dalam penggunaan ilmu fekah perkataan “qada” bermaksud menggantikan solat yang telah ditinggalkan. Màkna itu tidak dikehendaki disini.

Suruhan berzikir kepada Allah dalam ayat ini pula dihubungkan dengan keadaan berdiri, duduk dan berbaring.

Ini kerana dalam peperangan masa untuk solat adalah terhad dan para tentera mempunyai tugas dan aktiviti yang banyak.

Oleh itu, di jelaskan agar disepanjang aktiviti itu, mereka dituntut untuk mengingati Allah dalam segenap keadaan.

Mengikut Ibnul Kathir  dan al-Sa’adi dalam tafsir mereka, tuntutan untuk menyebut nama Allah adalah tuntutan kepada semua umat Islam tetapi dihubungkan dengan solat dalam peperangan kerana sifat peperangan yang mengandungi perasaan takut kepada musuh, kesusahan, kesibukan.

Keadaan itu memerlukan kepada hubungan dengan Allah yang lebih utuh.

Meningkatkan hubungan dengan Allah akan membuatkan hati dan jiwa manusia menjadi lebih teguh.

Elok juga dinyatakan disini bahawa ada pihak yang menjadikan ayat ini sebagai hujah untuk membolehkan amalan berzikir sambil melompat.

Menggunakan ayat ini sebagai hujah adalah tidak tepat kerana tidak ada suruhan untuk melompat dalam ayat ini. Apa yang disebut ialah berdiri, duduk dan berbaring.

Mengikut ramai ahli tafsir antaranya al-Baghawi dan Imam al-Qurtubi, maksud berzikir dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring ialah orang beriman dituntut berzikir kepada Allah dalam setiap masa.

Rangkap kedua dalam ayat diatas ialah apabila kamu telah merasa tenteram maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa).

Dalam rangkap ini, diterangkan bahawa hukum solat khauf itu dibenarkan dalam keadaan peperangan sahaja.

Apabila peperangan telah tamat dan kehidupan telah kembali normal, maka hendaklah solat ditunaikan dalam keadaan biasa samada dari sudut sifat atau pada sudut rakaatnya.

Rangkap terakhir dalam ayat ini ialah
إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

Imam Al-Tabari menjelaskan bahawa para ulama telah mentafsirkan ayat ini kepada dua makna

Pertama: solat adalah kewajipan yang difardukan.

Kedua: mentafsirkan perkataan “mauqut” sebagai yang ditentukan waktunya.

Pada hakikatnya, kedua-dua makna ini tidak bertentangan dan ia adalah makna yang dikehendaki oleh ayat ini.

Ini kerana seluruh umat Islam percaya bahawa solat adalah satu tuntutan yang bersifat kekal dan tidak dimansuhkan lagi.

Solat juga mestilah dilakukan pada waktu-waktu yang tertentu tidak boleh keluar dari waktu tersebut.

Ayat ini juga secara tidak langsung telah menjelmakan pentingnya prinsip merujuk amalan ibadat kepada nabi saw.

Ini kerana walaupun al-quran menjelaskan bahawa ibadat solat mestilah dalam waktunya, namun perincian waktu-waktu solat telah disebut secara lebih mendalam dalam hadis-hadis nabi melalui pengamalan Baginda saw.

Khamis
15 Shawal 1442
27 Mei 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *