TADABBUR WAHYU SIRI 752

*4.99.1 Tadabbur Surah An-Nisa 109

هَا أَنْتُمْ هَٰؤُلَاءِ جَادَلْتُمْ عَنْهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فَمَنْ يُجَادِلُ اللَّهَ عَنْهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْ مَنْ يَكُونُ عَلَيْهِمْ وَكِيلًا.

109. Sedarlah! Kamu ini adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (dari azab seksa yang disediakan oleh Allah)

Syeikh Muhammad Tantawi di dalam kitab tafsir beliau al-Tafsir al-Wasit menyatakan ayat ini menunjukkan kemarahan tuhan kepada orang-orang yang menyebelahi pengkhianat.

Jika kamu menyebelahi mereka di dunia ini sehingga kamu mampu melepaskan mereka dari beberapa kesuntukan, maka kamu perlu sedar bahawa tidak ada siapa pun yang mampu menyebelahi pihak yang zalim dan khianat dihari akhirat.

Ayat ini dengan jelas meletakkan prinsip hidup bagi seorang muslim yang benar.

Seorang muslim akan bersama kebenaran dan pihak yang benar.

Ini kerana tindakan menyebelahi pihak yang salah, zalim dan khianat tidak akan memberi apa -apa manfaat kepada manusia.

Dalam ayat 105 yang lepas al-Quran telah menjelaskan dengan firmanNya yang maksud “janganlah kamu menjadi pembantu kepada orang yang khianat”.

Benar dan khianat adalah dua keadaan yang perlu dibezakan dengan nilaian ilmu.

Jika seseorang menilai sesuatu dengan emosi, sudah tentu dia mudah terjerumus ke dalam kezaliman.

Ini kerana dia sudah tentu gagal menilai manakah satu pihak yang benar dan manakah satu pihak yang salah.

Dari situasi ini, amat jelas sekali peranan ilmu dalam kehidupan umat Islam sangat besar.

Ilmulah yang akan berjaya menyelamatkan manusia daripada sebarang penyelewengan.

Selain dari ilmu, emosi yang terkawal juga sangat penting.

Seorang yang fanatik dan taksub kepada mana-mana individu atau kumpulan sudah tentu tidak akan dapat menerima hakikat kelemahan pihak yang mereka dikagumi.

Dengan itu, dia akan menyebelahi orang yang dikagumi tanpa menilainya dengan neraca kebenaran.

Begitu juga jika dia membenci seseorang. Dengan mudah dia akan menghukum orang yang dibenci sebagai bersalah.

Sedangkan seorang muslim yang benar akan menilai kebenaran dengan ilmu yang betul dan emosi yang terkawal.

Pada waktu itu barulah hukuman terhadap sesuatu pihak itu hampir kepada kebenaran.

Ingatlah, menghukumkan seseorang itu dengan sebenar adalah tuntutan agama yang menjadi tanggungjawab kepada orang beriman untuk menguasainya.

Semoga kita dipimpin oleh Allah untuk memiliki ilmu yang benar dan emosi yang terkawal.
Amin ya Rabbal Alamin.

Ahad
25 Shawal 1442
6 Julai 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *