**TADABBUR WAHYU SIRI 753**

**4.100.1 Tadabbur Surah An-Nisa 110*

وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا.
110. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Setelah menjelaskan bahawa Allah tidak suka kepada orang yang menyebelahi pihak yang salah, kini dijelaskan tentang satu prinsip asas lagi dalam kehidupan seorang muslim.

Prinsip asas ini sangat penting untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan kejayaan di akhirat.

Seorang muslim mestilah hidup dengan prinsip dia adalah hamba Allah yang lemah dan tidak terlepas dari melakukan kesalahan.

Dengan asas ini maka dia akan sentiasa menilai perbuatannya dan membaiki kelemahan yang ada untuk menjadi seorang individu yang lebih baik.

Melakukan keburukan diistilahkan oleh ayat ini sebagai menzalimi diri sendiri.

Ini kerana seorang yang melakukan kezaliman kepada orang lain atau apa-apa perbuatan jahat sebenarnya menempah kesusahan untuk dirinya sendiri di dunia dan akhirat.

Adapun di dunia ini Allah akan murka kepada mereka atau membalas kejahatan yang dilakukan itu didunia lagi jika Allah mahu.

Sementara dihari akhirat pula akan merasai azab dan balasan yang pedih. Sememangnya ia satu kerugian terhadap diri sendiri.

Ayat ini disampaikan bukan dalam bentuk suruhan bertaubat secara langsung tetapi mesej suruhan itu disampaikan dalam bentuk penyataan.

Bentuk ayat ini adalah sebahagian daripada seni al-Quran yang tidak menyampaikan mesej dengan satu cara sahaja, yang mungkin menimbulkan perasaan jemu.

Sebaliknya al-Quran menggunakan berbagai teknik dan gaya bagi menarik minat pembaca untuk menghayati mesej yang disampaikan.

Selain itu, perlu diingatkan juga bahawa ayat ini perlu difahami dengan cara yang positif.

Memahami ayat ini secara positif membuatkan seorang  mahu untuk bertaubat dan meminta ampun diatas segala kesalahan yang telah dilakukan.

Sementara memahami ayat ini secara negatif boleh membuatkan seseorang terus menerus melakukan kesalahan dan menangguhkan taubatnya.

Sebahagian orang menjadikan ayat ini sebagai alasan untuk tidak bertaubat kononnya dia akan bertaubat apabila tiba masanya.

Tidak kurang juga orang muda yang lalai dari membuat persediaan di akhirat dan melakukan berbagai maksiat. Alasan mereka ialah akan bertaubat apabila tua nanti kerana Allah Maha Menerima taubat.

Ada sebahagian orang yang menzalimi orang lain, mengambil hak mereka dan berlaku jahat ketika bekerja semata-mata dengan alasan akan bertaubat apabila pencen nanti.

Pemikiran seperti ini sangat tidak sehat dan bertentangan dengan ajaran agama.

Ini kerana amalan agama akan membawa kebahagiaan kepada manusia dan melanggar arahan agama akan membawa malapetaka kepada manusia di dunia dan akhirat.

Jika ramai orang yang berfikiran begini sudah tentu keharmonian masyarakat akan terjejas dan masyarakat akan menuju kepada kemusnahan.

Adapun dari sudut individu, maka menangguhkan taubat akan merupakan risiko yang besar kerana nyawa manusia tidak dapat dijamin oleh sesiapa.

Kematian tidak pernah membezakan antara orang tua atau orang muda, orang sehat dan orang sakit.

Pepatah arab ada menyatakan dengan maksud “betapa ramai orang yang terlantar hidup bertahun-tahun sedangkan orang yang sehat tiba-tiba menemui ajalnya.

Semoga kita termasuk dikalangan orang yang sentiasa menghisab diri kita dan cuba sebaik mungkin untuk memperbanyakkan bekalan bagi menemui Allah taala. Amin.

Selasa
27 Shawal 1442
8 Julai 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *