**TADABBUR WAHYU SIRI 760**

**4.107.1 Tadabbur Surah An-Nisa 117*
إِنْ يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ إِلاَّ إِنَاثًا وَإِنْ يَدْعُونَ إِلاَّ شَيْطَانًا مَرِيدًا.

117. Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka.

Setelah menyebut tentang orang-orang yang syirik kepada Allah dalam ayat yang lepas, kini al-Quran  memperincikan tentang syirik.

Semasa Allah memberitahu mereka menyembah sembahan selain Allah, perkataan yang digunakan ialah “in yaduna” iaitu tidaklah mereka itu mendoakan.

Disebabkan doa adalah salah satu bentuk ibadah dan perhambaan, maka ia tidak boleh ditujukan kepada selain Allah.

Hal ini amat mudah difahami, apabila kita berdoa dan memohon kepada Allah maka kita telah meletakkan kepercayaan bahawa Dia berkuasa memberikan dan mengkabulkan permohonan.

Apabila doa ditujukan kepada selain Allah, maka sudah tentu objek yang ditujukan kepadanya doa itu diyakini memiliki kuasa untuk memakbulkan.

Inilah syirik kepada Allah, kerana mempercayai ada sesuatu yang berkuasa memberi dan memakbulkan harapan selain Allah.

Doa adalah berbeza dengan usaha. Ini kerana usaha ialah sesuatu yang dilakukan kerana mengikut hukum alam.

Seseorang itu dituntut berdoa untuk mendapat ilmu dan petunjuk, kemudiannya dia juga dituntut untuk berusaha melakukan sebab musabab untuk mendapat ilmu.

Belajar adalah punca untuk mendapat ilmu, samada dengan membaca, berguru atau mendengar.

Begitu juga dalam hal rezeki, kesembuhan dari penyakit dan sebagainya.

Dengan itu doa dan usaha tidak dapat dipisahkan.

Dalam ayat ini al-Quran menggunakan perkataan “inath” yang membawa maksud tidak lah mereka itu meminta kecuali daripada inath.

Perkataan “inath” ini menjadi perbincangan ulama kerana ia bermaksud “perempuan”.

Dengan itu, ayat diatas bermakna “tidaklah mereka itu meminta kecuali dari perempuan”.

Ibnu Kathir menyatakan bahawa ia adalah kiasan kepada orang-orang arab yang berdoa memohon daripada malaikat.

Mereka percaya bahawa malaikat adalah anak perempuan tuhan.

Jelas sekali orang-orang arab mempunyai kepercayaan khurafat yang tersebar dalam masyarakat dan menjadi kepercayaan keagamaan.

Jika diperhatikan, dari manakah datangnya maklumat yang menyatakan bahawa malaikat itu perempuan?

Sudah tentu kepercayaan itu tersebar akibat sikap tidak usul periksa dan mudah mempercayai sesuatu maklumat tanpa diselidiki terlebih dahulu. Sebenarnya tidak ada asas dan sumber.

Kepercayaan karut seperti ini juga tersebar dalam masyarakat kita, khususnya berkaitan kepercayaan terhadap alam ghaib.

Berbagai-bagai cerita tersebar seperti tentang tempat tinggal jin, cara mereka hidup dan sebagainya.

Sedangkan kaedah yang paling selamat dalam berhubung dengan alam ghaib ialah jika tidak ada dalil daripada al-Quran atau sunah maka ia tidak perlu dipercayai.

Rangkap kedua dalam ayat ini ialah firman Allah yang bermaksud “tidaklah mereka menyembah kecuali syaitan yang derhaka”.

Sememangnya syaitan adalah makhluk yang derhaka dan memberontak terhadap tuhan apabila dia mengingkari arahan Allah untuk sujud dan menghormati adam.

Apabila orang arab menyembah malaikat, maka dia sebenarnya telah menyembah syaitan.

Maksud menyembah syaitan disini bukanlah mereka mempercayai syaitan itu tuhan. Tidak berlaku sama sekali keadaan ini.

Sebenarnya ayat ini mahu menerangkan bahawa perbuatan syirik menyembah selain Allah itu adalah ajakan dan dorongan syaitan.

Apabila manusia mengikut ajakan dan dorongan itu maka dia telah dianggap menyembah dan mentaati syaitan.

Semoga kita termasuk dikalangan orang-orang yang dipandu oleh Allah dan diselamatkan daripada menjadi mangsa ajakan syaitan. Amin.

Isnin
10 Zulqaidah 1442
21 Jun 2021
Ustaz Dr Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac:562263546814 ) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz dll.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyubbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk Telegram taip Tadabbur Wahyu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *