Wahabi Sesat? (4)

Kita telah lihat bagaimana perselisihan dalam hukum hakam fekah cabang telah membawa kepada tuduhan sesat. Saya sengaja mengulasnya secara umum kerana perbahasan terperinci telah dimuatkan dalam kitab-kitab para ulamak. Dan telah dipelajari semenjak zaman berzaman. Yang menjadi masaalah bukan ianya tidak diketahui tapi sebab sebenar ialah percubaan untuk memenangkan kumpulan masing-masing.

2-Bidang Akidah:
Jika apa yang saya nyatakan dalam bab fekah adalah hukum cabang syariat, maka macam mana pula pertikaian dalam bab akidah? Akidah adalah asas agama dan terasnya, jika akidah dah terpesong maka sesatlah jawabnya. Inilah kata-kata yang biasa kita dengar dalam mengupas isu akidah.

Sebelum saya pergi lebih lanjut, saya nak jelaskan sikit bahawa, tidak semua perbincangan ulamak dalam bab akidah adalah asas akidah yang bersifat teras, antara benar dan sesat. Untuk pengetahuan kita, perbincangan dalam bab akidah juga sama macam perbincangan dalam bab fekah. Dalam erti kata lain, bab akidah pun ada asasnya dan ada pula cabangnya. Yang disepakati ialah hukum akidah yang dasar, dan dalam bab cabang ulamak akan berselisih pendapat.

Sebelum saya menunjukkan apakah perkara asas dan apakah perkara cabang, maka saya ingin memberitahu bahawa perkara asas dan cabang itu dapat diketahui dengan melihat apakah ianya sabit dengan nas qatie atau zanni.

Kalau ianya sabit dengan nas qatie subut dan dalalah maka ianya termasuk dalam perkara pokok, kalau ianya sabit dengan nas zanni maka ianya perkara cabang. Ok, kerja nak tahu ni bukan kerja orang awam, ini kerja orang bidang syariah.(yang berkebolehan le, ramai juga bidang syariah tapi tak tau qatie zanni, yang tu orang awam lah namanya)

Setelah kita faham teori tu maka mari cuba kita tengok satu persoalan dalam bab akidah yang menjadi perselisihan antara kumpulan Wahabi dan Kumpulan Asy’ari ni.

Antara polemik akidah dua kumpulan ini ialah persoalan ayat quran yang menerangkan sifat Allah. Bagaimana memahami ayat-ayat tersebut. Bila Allah menyatakan ‘Yadullah’ yang bermaksud tangan Allah, maka apakah yang perlu difahami dengan ‘tangan Allah’. Kedua-dua sepakat mengatakan Allah tidak sama dengan makhluk kerana firman Allah ‘laisa kamislihi syai’ iaitu tiada sesuatu yang menyerupai Allah.

Pihak Wahabi yang dikatakan sesat ini menganggap ayat-ayat sedemikian tidak perlu ditafsirkan dengan makna lain. Terserahlah makna tangan Allah itu kepada ilmu Allah. Apa yang mereka katakan ialah tangan itu adalah tangan tetapi bukan tangan yang digambarkan oleh manusia. Sifat yang layak bagi Allah. Akibat berkefahaman demikian kumpulan ini dianggap ‘mujassimin’ oleh aliran yang satu lagi. Mujassimin maksudnya orang yang menjisimkan Allah, sedangkan jisim itu sifat makhluk dan mahasuci Allah dari menyerupai makhluk.

Pihak kedua pula memahami ayat ‘tangan’ tadi dengan cara takwil. Apa maksud takwil? Iaitu memahami makna tangan dengan maksud lain. Mereka mentafsirkan makna tangan dengan maksud kuasa. Bila ayat quran bermaksud ‘tangan Allah diatas tangan mereka’ maka mereka faham ayat ini bermaksud ‘kuasa Allah mengatasi kuasa mereka’.

Persoalannya sekarang manakah pihak yang benar dan manakah pula pihak yang sesat kerana perbincangan ini melibatkan bidang akidah? Maka jawapannya ialah bidang ini tidak melibatkan asas akidah. Maka jawapan yang dicari bukanlah antara yang benar dan sesat. Yang dicari ialah manakah yang lebih tepat. Yang tidak tepat juga benar. Atau apakah kedua-duanya adalah benar dan tepat.

Mengapa dengan mudah saya menghukumkan persoalan ini bukan dasar akidah sedangan kumpulan yang bertelagah menyesatkan pesaing masing-masing? Jawapannya ialah kerana :

1-Kedua-dua pihak mengakui ayat yang dibincangkan adalah ayat quran

2-Mereka mengakui bahawa Allah tidak menyerupai makhluk dengan firman Allah ‘laisa kamislihi syai’. Maksudnya ‘tiada suatupun yang menyerupaiNya’.

3-Kedua-dua pihak masih menggunakan teknik pentafsiran nas quran yang tidak bertentangan dengan kaedah bahasa arab. Bahasa Arab sememangnya boleh difahami dengan dua bentuk iaitu maknanya yang zahir atau kiasan. Apakah ‘tangan’ dalam ayat quran tadi membawa maksud zahir atau membawa maksud kiasan? Kedua-dua kefahaman itu tidak bertentangan dengan kaedah bahasa Arab.

Bila ianya tidak bertentangan maka kedua-dua aliran itu tadi boleh diterima oleh syariat dan tidak dianggap sesat. Inilah yang dikatakan nas yang zanni atau kabur. Nas menyebut sesuatu tetapi benda yang disebut mengandungi lebih daripada satu makna, makna-makna itu pula tidak bertentangan dengan asas bahasa Arab. Ha, sekarang kita telah faham apa maksud nas yang kabur.

Tidak menjadi kesalahan kepada kedua-dua pihak untuk berpolemik tetapi selagimana nas yang menjadi rujukan adalah nas yang kabur, maka polemik mereka tidak berkisar antara kumpulan sesat atau benar tetapi hanya bersifat mencari maksud yang lebih tepat, tidak lebih dari itu.

Sekarang jelaslah kepada kita betapa besarnya nafsu orang yang mengatakan kumpulan wahabi sesat kerana tidak mentakwilkan ayat quran atau dinamakan mujassim. Kita juga berjumpa dengan orang aliran wahabi yang mengkufurkan orang yang mentakwilkan ayat tadi dengan tuduhan muattil. Iaitu orang yang telah membatalkan maksud quran. Kedua-dua tuduhan itu telah kita lihat, tidak lain dan tidak bukan hanyalah perbalahan untuk memuaskan nafsu sahaja.

Pada hari Sabtu 7/11/09 Utusan Malaysia menyiarkan satu tulisan yang memuatkan hujjah kesesatan Wahabi kerana mereka membahagikan tauhid kepada tiga jenis dan menolak metod sifat 20. Ok, Ibnu Taimiah yang telah membahagikan tauhid kepada tiga bahagian iaitu uluiah,rububiah dan asma/sifat. Metod terdahulu mempelajari tauhid dengan menggunakan kaedah sifat 20.

Kumpulan wahabi menolak metod bukan menolak maklumat. Salah satu perbincangan sifat dua puluh ialah wujud iaitu Allah itu wujud. Kalau tolak Allah itu wujud maka tak payah banyak cakap memang kafirlah. Masaalah sekarang ialah yang ditolak bukan sifat wujud tapi yang ditolak ialah metod membahagikan sifat kepada 20. Mengapa mereka tolak? Ini kerana mereka membahagikan tauhid kepada 3 bahagian. Perbalahan sebenar adalah perbalahan tentang bagaimana mempelajari tauhid dan mengajarkannya kepada manusia. Saya tidak faham mengapa Ustaz Mahfuz dalam ruangan rencana utusan Malaysia itu sanggup menghukumkan sesat hanya dengan hujjah yang sedemikian.

Saya menyeru kepada sekelian sarjana Islam dan kepada diri saya sendiri supaya lebih berintegriti, amanah dan ikhlas sewaktu mengupas persoalan agama. Ianya amanah yang akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti!!!!!
Pandangan anda dihargai

13 thoughts on “Wahabi Sesat? (4)”

  1. Avatar

    melihat kepada polemik dalam masyarakat islam di malaysia maka ana cadangkan kita buka kitab asbab ikhtilaf ulamak dan ajar kepada masyrakat bagaimana adab ulamak dulu berhadapan dengan masalah khilaf dan sebab2nya.kita kena buka minda,buat gerakan bersepadu biar mereka jelas.sedih kalu gi dengar kuliah yang bolehnya gelak dan kelakar.satu cadangan -nuar kenitra.

  2. Avatar

    syabas ustaz! syabas!

    tapi bukan nak jadi pesimis, kalau kita nak satuykan dua puak ni memang agak mustahil la pasal sekarang ni perbalahannya dah diselaputi dengan Ego, Taasub, Malu nak Ngaku Salah, Politik, Tak nak lepas Kuasa dll. dua-dua pihak pun ada.

    apa yang boleh buat ialah yang macam ustaz buat ni. bagi penjelasan yang Adil dan tak memihak.

  3. Avatar

    Terima kasih ustaz……..
    Sekurang2nya saya dapat memahami sedikit sebanyak tentang apa yang mereka perbalahkan….

    Saya yg hanya belajar agama secara formal cuma sampai tingkatan 5, amat senang dengan penjelasan yang padat dan kemas begini.
    Senang untuk difahami bila diberikan contoh2 begini…. bukan dalam bentuk menghukum….

  4. Avatar

    alhamdulillah,mudahan Allah perkukuhkan, sebenarnya ramai sahabat saya yang boleh membantu dan saya memang memerlukan sokongan mereka, tapi masing-masing tak sanggup pulak nak berbuat demikian…tak apa lah, saya ni nak bagi harta tak mampu, nampaknya tunjuk ajar sedikit sebanyak ni lah yang saya harapkan jadi modal depan tuhan, harap Allah terima,amin ya rab.

  5. Avatar

    Amin, semoga ilmu yang dikongsi bersama akan menjadi amal jariah yang berkekalan InsyaAllah.

  6. Avatar

    Perbezaan tafsiran dan pendapat telah berlaku di kalangan sahabat sebelum rasulullah SAW wafat lagi.

    Apabila perbezaan pendapat tersebut dirujuk kepada rasulullah SAW, baginda tidak menyalahkan mana-mana pihak.

    Contoh paling masyhur, peristiwa solat Asar di perkampungan bani Quraizah.

    Wallahualam.

  7. Avatar

    Assalamualaiku wbt.

    Ustaz,

    Saya mengikuti tulisan ustaz dalam blog ini dan berpeluang mengikuti kuliah ustaz di masjid kota damansara pada 15 November yang lalu.

    Saya menghargai niat ustaz untuk "menjernihkan" keadaan tetapi kurang bersetuju dengan hujah-hujah ustaz. Yang paling utama ialah kesilapan ustaz dalam membuat kesimpulan (di Masjid Kota Damansara) bahawa ada masalah yang lebih besar yang perlu diselesaikan diluar seperti masalah keruntuhan akhlak, ekonomi, kepimpinan dll selain daripada polemik yang berlaku ini. Selain daripada itu, huraian ustaz besifat simplistik yang mana ustaz menyimpulkan bahawa polemik yang berlaku hanyalah dari segi masalah khilafiat fekah semata-mata.

    Saya lebih cenderung mengatakan bahawa kepincangan dalam masyarakat Islam di negara kita terutamanya hari ini adalah bertitik tolak daripada ceteknya kefahaman dan ilmu akidah. Umat islam disajikan dengan ceramah-ceramah yang berbentuk sentiment tanpa disajikan dengan ilmu-ilmu yang tersusun. Akibatnya, semangat mereka hanyalah sementara, seperti api yang dicurah minyak. Apabila habis minyaknya, padamlah api tersebut. Mereka menyembah Allah Taala tetapi mereka tidak kenal siapa itu Allah Taala, tuhan seru sekelian alam.

    Selama hampir 500 tahun kita dijajah oleh puak Kristian tetapi umat melayu khususnya tidak menjadi murtad. Ulama-ulamak dahulu membawa method pengajaran akidah yang kemas dan mendalam yang meresap ke dalam jiwa hingga ke akhir hayat. Hari ini kita tidak dijajah, tetapi akhlak kita runtuh, jati diri kita lemah. Inilah akibatnya dari kelemahan dalam memberikan faham ilmu akidah. Kata ulamak, "Awaluddin maarifatullah". Apa guna kita mempunyai ramai yang mengaku Melayu/Islam tetapi tidak kenal apa itu asas agama. Mereka solat dan berpuasa tetapi tidak kenal tuhan yang memerintahkan mereka mengerjakan ibadat tersebut. Akhirnya, ibadat menjadi adat semata-mata yang tidak melahirkan kekuatan dalaman iaitu kekuatan iman dan aqidah.

    Mungkin ustaz lebih arif tentang sejarah terutamanya perjuangan Salehuddin Al-Ayubi dan Sultan Muhammad Al-Fateh. Bukankah asas perjuangan mereka adalah mentauhidkan Allah Taala dan bukan kebendaan semata?

    Polemik Wahabi- Ahli Sunnah wal Jamaah bukan sahaja berlaku di dalam bab khilafiat fekah. Yang lebih utama adalah dalam bab akidah. Seperti ustaz sedia maklum, dalam bab fekah, boleh ada khilaf tetapi di dalam bab aqidah, tidak harus ada khilaf kerana ianya jelas, sama ada betul atau sesat. Oleh yang demikian, kesimpulan yang ustaz buat bahawa kedua-dua golongan ini adalah betul terlalu simplistik dan boleh membawa kepada kekeliruan masyarakat.

    Sikap berkecuali ustaz adalah berbahaya terutamanya dalam hal-hal melibatkan akidah. Seharusnya ustaz lebih berhati-hati dan berhemah dalam menghuraikan masalah ini. Semoga Allah Taala memberikan petunjuk dan hidayahnya kepada kita.

    Wallahua'lam bissawab.

    ABU DANISH

  8. Avatar

    memang ramai orang keliru lalu menganggap semua perbincangan dalam bab akidah adalah asas agama, sebenarnya tidak begitu, banyak perbahasan dalam bab akidah bukan asas agama sebaliknya perkara khilafiah saja, baca balik tulisan saya, saya dah terangkan.

  9. Avatar

    akidah yang ditanam oleh Rasulullah kepada sahabat tidak terlalu susah,sehingga perlu diajar dalam kuliah univ atau sebagainya.tidak terlalu rumit sehingga orang bijak pandai dan filosof-filosof sahaja yang memahaminya.Rasulullah ajar konsep ketuhanan kepada mereka dan diikuti dengan tarbiah yang mereka lihat melalui amalan baginda.sebab itun ulamak kata akidah ini bukan hanya ilmu2 yang diajar dan bukan kalimah2 yang dihafal.tapi akidah sebenar terjelma dalam amalan.
    ana setuju dengan ust.Rosli bahawa dalam aqidah ada asas pokoknya dan ada cabag rantingnya.Asas dan pokoknya mestilah dalilnya qat`i thubut melalui ayat al-quran dan hadith mutawatir.contohnya ijmak ulamak bahawa rasulullah diisrakan ke masjidil aqsa dengan tubuh badan dan ruhnya.sesiapa yang menginkarinya adalah kafir.tetapi ulama ahlu sunnah wal jamaah sendiri kkhilaf peristiwa mikraj ralulullah adakah dengan tubuh badan dan ruhnya sekali atau dengan ruhnya sahaja. antara ulamak yang mengatakan ruhnya sahaja seperti bekas Syeikh AL-Azhar AlMarhum syeikh Muhammad Abu Zuhrah.tak ada yang ulamak mengatakannya kafir.
    kesimpulannya ,sesuatu disiplin ilmu itu hendaklah diambil dari awalnya dan dari ahlinya.hendak menyemarakkannya pula dengan bermuzakarah melalui dadanya yang lapang.-nuar kenitra

  10. Avatar

    Kurang setuju! Pandangan yang mengambil mudah soal-soal ketuhanan inilah yang melahirkan golongan Islam liberal. Akhirnya, umat Islam lemah kerana lemah aqidahnya.

    Ulamak terdahulu telah menyusun Ilmu tauhid dengan mudah sekali.Yang merasakan payah kerana mereka MALAS, lebih pentingkan hal-hal dunia yang akhirnya dua-dua (akhirat dan dunia) kerugian.

  11. Avatar

    benda yang payah pun boleh diambil mudah, benda yang mudah pun boleh dipayah-payahkan, maksud ustaz anuar akidah itu mudah ialah ianya bersifat senang untuk difahami, sementara mengambil mudah ialah sikap manusia itu sendiri.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *